Terjemah kepada bahasa lain

Jumaat, 21 Jun 2013

SAJAK PELAYARAN HIDUPKU

Detik permulaan hidupku ini,
Asalnya terang menjadi gelap,
Asalnya Nampak menjadi kelam,
Ibarat hari kian gelita,
Tiada satu pun yang menduga,
Hanya yang esa maha berkuasa.

Dalam keadaan yang kelam,
Aku berpasrah dan reda,
Aku teruskan hidupku,
Semangat yang kental kugenggami,
Usaha yang padu kulontari,
Menempuh pelbagai ranjau berduri,
Di depan sana setia menanti,
Menguji diriku mampu atau tidak,
Merempuh ujian yang mendatang.

Cabaran demi cabaran berkerumun di depanku,
Aku bentengkan diriku dengan kepingan kesabaran,
Kepingan kesabaran yang disaluti kegigihan,
Sikap berputus asa tidak pernah singgah di pintu naluriku,
Hanya usaha istiqamah menjadi pemangkin,
Kejayaan dicapai diriku megah,
Lautan kesyukuran terbentang luas di sanubariku,
Tiap masa dan ketika.

(Hasil nukilan pemilik blog ini)

Jumaat, 7 Jun 2013

PAHIT DAN MANIS CINTA

Cinta merupakan satu perasaan yang datang secara tiba-tiba tanpa diduga. Lazimnya, cinta ini menjelma pada zaman remaja seseorang. Seseorang yang mendapat cinta tidak semestinya melalui kebahagiaan yang abadi. Hal ini demikian kerana adakalanya seseorang yang mendapat cinta buta tidak akan merasakan nikmat cinta yang ikhlas, iaitu tulus dari hati. Kebanyakan individu yang inginkan cinta yang berkepentingan. Sebagai contoh, seorang remaja perempuan bercinta dengan seorang lelaki yang berstatus tinggi adalah untuk mengikis harta benda lelaki tersebut. Pada masa yang sama, ada juga individu yang bercinta dengan hati yang tulus ikhlas tanpa memikirkan soal harta dan rupa paras. Cinta seperti ini lazimnya menjanjikan kebahagiaan yang abadi hingga akhir hayat. Kesimpulannya, Cinta boleh memberi kebaikan dan keburukan mengikut keadaan tertentu. Oleh hal yang demikian, saya ingin menyeru kepada semua pembaca laman ini terutamanya remaja berhati-hatilah dalam memilih cinta.

ASAM GARAM KEHIDUPAN

Assalammualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua para pembaca. Tulisan pada kali ini mengisahkan tentang asam garam dalam kehidupan. Sebenarnya, kita sebagai manusia di dunia ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Lazimnya, cabaran dan dugaan ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah sikap manusia lain yang suka mencari kesalahan orang lain sedangkan pada hakikatnya orang tersebut tidak pernah memikirkan tentang pengorbanan orang lain terhadapnya. Inilah yang kerap berlaku pada zaman ini. Kesannya, orang yang menjadi mangsa akan berasa tertekan dan tidak tentu arah. Hanya kesabaran dan ketabahan diri sahaja yang dapat menguatkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melanggar nilai kemanusiaan. Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini. Harap anda mengambil iktibar daripada apa yang saya sampaikan.

Isnin, 3 Jun 2013

KATA KERJA

Kata kerja merupakan kata yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau tindakan dilakukan oleh pelaku. Kata kerja boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kata kerja aktif dan kata kerja pasif. Kata kerja aktif hadir dalam ayat aktif, manakala kata kerja pasif wujud apabila proses mempasifkan sesuatu kata dilakukan. Kata kerja pasif lazimnya menggunakan di-oleh dan kena dalam ayat. Kata kerja aktif dapat dipecahkan kepada dua, iaitu kata kerja aktif transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja aktif transitif perlu diikuti oleh objek atau penyambut. Hal ini demikian kerana jika kata kerja aktif transitif tidak diikuti oleh objek, maka sesuatu ayat itu akan menjadi tidak gramatis. Di samping itu, kata kerja aktif tak transitif pula dapat dipecahkan kepada tiga, iaitu kata kerja tak transitif berpelengkap, kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dan kata kerja tak transitif berpenerang.

Ahad, 2 Jun 2013

DEFINISI JAHILIAH

Jahiliah terbentuk daripada kata dasar jahala dan kata terbitan jahlatun atau jahun yang bermaksud bodoh dan sesat. Masyarakat atau zaman Jahiliah dapat dikesan berdasarkan ciri-ciri berikut:
1. Zaman yang tidak mempunyai nabi/rasul dan kitab suci sebagai panduan.
2. Masyarakat yang tidak mempunyai peradaban dan tamadun.
3. Masyarakat yang bersikap angkuh dan bongkak.
4. Masyarakat yang tidak tahu menulis dan membaca.

DEFINISI KATA

Kata merupakan bentuk bahasa yang bebas, boleh berdiri sendiri sebagai ayat minimal apabila diberikan intonasi yang sesuai dan mempunyai maksud atau mesej yang lengkap. Kata boleh dibahagikan kepada empat, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif/sifat dan kata tugas.