Terjemah kepada bahasa lain

Ahad, 29 Januari 2017

GLOBALISASI

Secara umumnya, globalisasi merupakan salah satu unsur yang berkait rapat dengan kehidupan bermasyarakat. Unsur globalisasi telah ditakrif bertunjangkan kepada pelbagai pendapat. Salah satu pendapat telah menyatakan bahawa perkataan globalisasi merujuk kepada satu proses yang membolehkan sesuatu aktiviti disebar atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia (Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005). Dari segi dasarnya pula, Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005) menyatakan bahawa globalisasi telah didasari dengan perkataan global yang bermaksud meliputi, mempengaruhi atau mengenai seluruh dunia (sejagat). Dalam erti kata lain, globalisasi bersifat universal.
Dalam bercakap tentang unsur globalisasi, bentuk globalisasi telah dikategorikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah globalisasi ekonomi, globalisasi budaya, globalisasi politik dan lain-lain lagi. Namun begitu, perbincangan kali ini hanya memberi tumpuan kepada globalisasi budaya. Globalisasi budaya ialah salah satu bentuk globalisasi yang secara terus memberi kesan kepada aspek budaya dalam sesebuah masyarakat. Umumnya, budaya merupakan satu elemen yang dimiliki oleh setiap masyarakat. Setiap masyarakat mempunyai bentuk budaya yang tersendiri dan bersifat unik. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005), budaya telah didefinisikan sebagai tamadun atau peradaban yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Wujudnya unsur globalisasi dalam bidang kebudayaan sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada budaya masyarakat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu. Kesan daripada globalisasi budaya ini boleh dilihat dari dua sudut, iaitu positif dan negatif. Jika dari sudut positif, ia sedikit sebanyak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Negara. Tidak mustahil dengan kehadiran global budaya ini mampu mengubah sesebuah negara menjadi lebih maju. Selain itu, negara ini juga boleh menerima global budaya masyarakat yang lain dan seterusnya boleh digabungkan dengan budaya tempatan agar dapat dikomersialkan di luar negara. Secara tidak langsung Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kebudayaan dalam dan luar serta industri budaya dapat berkembang pesat. Apa yang paling penting budaya yang dibawa masuk mestilah sesuai dengan kita dan tidak bertentangan dengan agama. Jika berlaku sebaliknya pula, pengaruh media social dan anasir-anasir luar akan menjejaskan negara. Rakyat akan semakin tidak berminat untuk memberi sumbangan untuk memajukan Negara. Mereka lebih selesa dengan pengaruh budaya negatif yang boleh dikatakan memberi keselesaan dalam kehidupan mereka. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kesan budaya negatif ini sememangnya memberi impak yang besar kepada diri dan seterusnya mencemarkan agama rasmi tersebut. Sebagaimana yang kita tahu, globalisasi budaya ini berlaku menerusi pelbagai saluran. Salah satunya ialah media sosial. Pelbagai faktor telah dikenal pasti menjadi penyebab kepada wujudnya globalisasi budaya di Malaysia. Faktor yang dikenal pasti termasuklah kedatangan orang asing dari luar, proses import eksport antara Malaysia dengan negara lain dan sebagainya.

Selasa, 24 Januari 2017

PENGALAMAN BERORGANISASI DI IPT

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada kalian yang sudi membaca perkongsian ini. Perkongsian yang akan dilakukan pada kali ini berkisar tentang pengalaman berorganisasi di IPT. Pengalaman ini bermula sejak saya berada di tahun 1 lagi. Ketika saya berada di tahun 1, iaitu tahun 2014, saya telah pun diberi kepercayaan untuk mengendali satu program. Program tersebut merupakan satu program yang sememangnya melibatkan ramai orang. Ini bukan sahaja melibatkan ahli persatuan, malah turut melibatkan rakan-rakan sukarelawan dan juga alumni persatuan. Program ini boleh dikategorikan sebagai program makan persatuan yang juga menjadi acara tetap setiap sesi akademik. Dari aspek pengendalian, saya sememangnya bermula dari 0 tetapi lama-kelamaan saya mulai dapat membiasakan diri. Ilmu yang telah dikongsikan oleh senior-senior saya ketika itu sememangnya membantu saya untuk menghadapi tanggungjawab sebagai pengarah program. Apabila bercakap tentang pengarah program, sudah pasti semua sudut di dalam program tersebut perlu diteliti dan diurus secara sistematik. Misalnya, pengarah program perlu memastikan setiap AJK menjalankan tugasan yang diberikan. Selain itu, pengarah program juga perlu menetapkan perkara-perkara dasar di dalam program tersebut. Namun, apa yang paling penting sebagai seorang pengarah program seharusnya bijak dalam mengawal emosi. Ini adalah kerana kegagalan mengawal emosi mampu memberi kesan negatif terhadap orang sekeliling. Kesan negatif yang dimaksudkan adalah dari segi hubungan sosial. Kesan negatif yang menjejaskan hubungan sosial ini boleh dilihat melalui orang sekeliling yang tidak selesa untuk bergaul dengan individu yang gagal mengawal emosi. Keadaan ini turut sama jika dilihat dalam konteks penganjuran program. Sebagai contoh, pengarah yang panas baran akan menyebabkan AJK di bawahnya tidak suka dan tidak selesa untuk bekerja dengannya. Jadi, jelaslah bahawa pengalaman berorganisasi ini bukannya mudah dihadapi. Namun, pengalaman berorganisasi di IPT ini mampu membantu seseorang untuk melangkah ke alam kerjaya. Oleh itu, sampai di sini sahaja perkongsian saya mengenai pengalaman berorganisasi di IPT. Semoga kalian yang membaca perkongsian ini mampu memperoleh sesuatu yang positif daripada perkongsian saya ini. Sekian, terima kasih.

Isnin, 23 Januari 2017

KONSEP ANTROPOLOGI

Umumnya, antropologi merupakan salah satu bidang pengajian yang mengkaji kepelbagaian manusia yang terdapat di dunia ini. Antropologi boleh dibahagikan kepada dua aliran pemikiran yang utama. Salah satunya ialah antropologi sosial. Antropologi sosial ini merupakan satu aliran pemikiran Antropologi Sosial British. Antropologi sosial juga melibatkan teori-teori sosiologi. Aliran antropologi sosial turut menjadi sebahagian daripada cabang sosiologi. Dalam pada itu, antropologi sosial telah dikenali sebagai sosiologi bandingan. Bagi aliran pemikiran yang kedua pula diistilahkan sebagai antropologi kebudayaan. Antropologi kebudayaan ini merupakan aliran pemikiran Antropologi Kebudayaan Amerika Syarikat. Dalam aliran ini, unsur kebudayaan telah diberi perhatian secara menyuluruh. Apabila melihat kepada pemahaman ahli antropologi kebudayaan terhadap takrif kerja kebudayaan sememangnya berbeza sama sekali pemahaman yang dipegang oleh aliran antropologi sosial. Mengikut antropologi kebudayaan, kebudayaan merujuk kepada satu sistem ilmu pengetahuan atau sistem pengoperasian manusia yang membolehkan manusia berinteraksi dengan manusia lain, alam sekitar dan juga kuasa-kuasa ghaib. Jadi, perkongsian yang dilakukan pada kali ini diharapkan dapat memberi sedikit sebanyak pemahaman kepada anda semua tentang konsep antropologi. Terima kasih.

PERENANG BERMASALAH PENGLIHATAN

Semoga bermanfaat kepada anda semua!