Terjemah kepada bahasa lain

Sabtu, 27 Jun 2015

PERMAINAN GOALBALL DI MALAYSIA

Full assignment (Permainan Goalball di Malaysia).pdf
PERMAINAN GOALBALL DI MALAYSIA
Pengenalan
Goalball merupakan salah satu permainan yang dimainkan oleh pemain-pemain yang
menghadapi masalah penglihatan. Hal ini demikian kerana mereka perlu memperbanyakkan jenis
permainan atau sukan bagi mengisi masa lapang mereka. Permainan ini sememangnya
memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Selain itu, ia juga memerlukan daya pendengaran yang
tajam. Hal ini demikian kerana permainan ini menguji daya pendengaran. Bola yang digunakan
mengandungi tiga biji loceng di dalamnya. Beratnya kira-kira 1.25 kilogram. Permainan ini
dimainkan secara berkumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada enam orang pemain. Daripada
enam orang pemain, hanya tiga sahaja yang utama dalam permainan ini. Selebihnya hanyalah
sebagai pemain simpanan sahaja. Setiap pemain mempunyai peranannya sendiri. Terdapat tiga
posisi yang perlu dititikberatkan oleh setiap pemain yang ditugaskan. Satu pemain akan berada di
kiri, satu di tengah, dan satu lagi di kanan. Setiap pemain yang terlibat akan ditutup matanya
dengan penutup mata. Penutup mata tersebut juga dikenali sebagai blindful. Permainan goalball
ini dimainkan dalam satu gelanggang yang berbentuk segi empat. Pangjang gelanggang ini ialah
18 meter manakala lebarnya ialah 9 meter. Gelanggang ini mempunyai dua tiang gol. Setiap
pemain dipertanggungjawabkan untuk menjaga garisan masing-masing bagi mengelakkan bola
membolosi gawang. Cara bermain bola ini sangatlah mudah. Ia tidak boleh dibaling tinggi
kerana ia membahayakan keselamatan pemain. Bola Goalball ini seharusnya dibaling secara
lerek. Sekiranya pemain itu melontar tinggi dari had yang ditetapkan, dia boleh dikenakan
panelti.
F:\bola goalball.png
F:\goalball court.jpg
F:\bola goalball.png
F:\goalball court.jpg
Permasalahan Kajian
Walaupun permainan goalball ini merupakan satu bentuk permainan yang popular dalam
kalangan OKU penglihatan, namun masih ramai lagi di luar sana tidak tahu tentang kewujudan
permainan goalball di Malaysia. Oleh itu, mereka perlu didedahkan dengan permainan ini supaya
mereka mengikuti permainan ini yang kian mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Dalam
masa yang sama, mereka juga boleh memberi sokongan dalam pembangunan sukan ini.
Objektif Kajian
Terdapat beberapa objektif kajian yang perlu dicapai dalam kajian ini. Salah satunya
ialah mengenalpasti faktor penglibatan OKU penglihatan dalam permainan goalball di Malaysia.
Selain itu, objektif seterusnya ialah mengetahui rahsia kejayaan OKU penglihatan dalam
mewakili Malaysia. Seterusnya, kajian ini turut menkaji bentuk galakan yang diberikan kepada
OKU penglihatan dalam permainan goalball di Malaysia.
Kaedah Kajian
Terdapat dua kaedah yang digunakan dalam kajian ini. Kaedah yang pertama ialah
kaedah temu bual. Dalam kaedah temu bual ini, pengkaji cuba mendapatkan maklumat yang
lebih lanjut tentang latar belakang goalball, rahsia kejayaannya, dan sebagainya. Selain itu,
pengkaji juga menggunakan kaedah kepustakaan. Pengkaji menggunakan internet untuk
mendapatkan serba sedikit berkaitan dengan permainan goalball.
Skop Kajian
Kajian ini hanya dijalankan dalam kalangan orang kurang upaya penglihatan sahaja. Hal
ini demikian kerana permainan ini hanya dikhususkan kepada mereka. Permainan ini tidak
memerlukan penglihatan langsung. Ia hanya berdasarkan bunyi semata-mata.
Sorotan Kajian Lepas
i) Futsal orang buta
list end
Selain permainan Goalball, Orang Kurang Upaya Penglihatan juga terlibat dalam satu
jenis sukan lain, iaitu Futsal Buta. Futsal Buta ini dicipta sekitar tahun 1970-an. Futsal Buta ini
mula dimainkan di Jerman. Pada tahun 2004, Futsal Buta pertama kali dipertandingkan dalam
temasya Sukan Paralimpik. Pada ketika itu, Sukan Paralimpik tersebut diadakan di Athens.
Futsal Buta ini melibatkan lima orang sepasukan. Lima orang tersebut terdiri daripada seorang
penjaga gold an empat orang lagi pemain yang mempunyai masalah Penglihatan. Penjaga gol itu
pula seorang yang celik matanya. Empat daripada lima orang pemain Futsal Buta wajib memakai
penutup mata atau blindful bagi mengelakkan ketidakadilan berlaku antara pasukan yang
bertanding. Bola yang digunakan mempunyai loceng di dalamnya bagi memudahkan pemain
yang bermasalah Penglihatan mengesan kedudukan semasa bola. Setiap pasukan Futsal Buta
turut mempunyai formasi masing-masing.
ii) Catur braille
Selain OKU Penglihatan terlibat dengan sukan yang berteraskan fizikal, Oku
Penglihatan juga terlibat dengan satu jenis sukan atau permainan yang hanya berorientasikan
pemikiran. Permainan yang dimaksudkan ialah catur braille. Catur braille ini dikhaskan kepada
individu yang mempunyai masalah Penglihatan sahaja. Hal ini demikian kerana papan catur yang
digunakan sememangnya mempunyai keistimewaan tertentu. Keadaan ini dapat dijelaskan lagi
melalui penggunaan papan catur yang berlubang kecil di setiap permukaan. Ia tidak kira sama
ada permukaan berwarna putih atau pun hitam. Tujuan lubang tersebut dicipta adalah untuk
memudahkan buah catur braille yang mempunyai pencucuk di bawahnya dicucuk. Keadaan
sedemikian berlaku bagi memastikan setiap buah yang dijalankan tidak terkeluar dari permukaan
yang telah ditentukan. Selain itu, catur braille juga mempunyai perbezaan dari segi
permukaannya. Permukaan putih dan hitam dapat dibezakan dengan menyentuh permukaan
hitam lebih tinggi berbanding permukaan putih. Di samping itu, buah hitam pada catur braille
juga dapat dibezakan kerana buah hitam mempunyai penanda yang tajam di bahagian atas.
Hasil Kajian
Latar Belakang Goalball
Permainan Goalball merupakan satu bentuk permainan khas untuk Orang Kurang Upaya
Penglihatan. Permainan ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 1946 di Austria. Permainan
ini telah dimainkan oleh para tentera atau perajurit yang telah menjadi orang kurang upaya
penglihatan akibat daripada kecederaan yang dihadapinya semasa perang. Goalball berada di
bawah pengawasan International Blind Sport Association (IBSA). Pada tahun 1976, permainan
Goalball rasmi menjadi salah satu cabang olahraga yang dipertandingkan dalam Olimpiade
Paralympics. Di Malaysia, goalball mula diperkenalkan pada tahun 1980-an. Keadaan ini berlaku
apabila IBSA menghantar wakilnya ke negara-negara ASEAN untuk memperkenalkan
permainan ini. Beberapa orang OKU penglihatan pernah mewakili negara untuk bertanding
dengan negara lain hasil daripada usaha mereka.
Menurut responden lagi, pada tahun 2014 yang lepas, Menteri Belia dan Sukan mahu
permainan goalball dimasukkan sebagai sukan. Beliau mahu permainan goalball terkenal di
Malaysia kerana ia masih belum mendapat tempat di negara ini. Bagi memartabatkan sukan ini
lagi, beliau mahu permainan ini diselia di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Hal ini demikian
kerana beliau melihat pemain-pemain OKU penglihatan di Malaysia berpotensi untuk bertanding
di peringkat antarabangsa. Selain itu, pencapaian atlet OKU penglihatan Malaysia di sukan SEA
juga amat membanggakan negara. Mereka telah memenangi pingat perak sebanyak lima kali.
Hasil daripada prestasi permainan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain ini menarik perhatian
kementerian ini untuk terus memajukan sukan ini.
Seterusnya, Kementerian Pendidikan Malaysia juga melakukan pelbagai usaha untuk
memajukan sukan ini. Mereka telah memperkenalkan permainan ini melalui sekolah-sekolah
pendidikan khas. Sekolah-sekolah ini telah mengadakan pertandingan dalam kalangan pelajar.
Dari situlah pelajar-pelajar yang berpotensi akan diserapkan ke satu kumpulan yang mantap.
Faktor Penglibatan OKU Penglihatan Dalam Goalball
Permainan goalball telah dinaikkan tarafnya menjadi sukan antarabangsa. Permainan ini
kian berkembang dan terkenal dalam kalangan golongan OKU penglihatan. Secara tidak
langsung golongan OKU ini mendapat pendedahan dalam sukan ini. Semakin hari permainan
ini semakin berkembang luas.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi penglibatan OKU penglihatan dalam
permainan goalball. Salah satu faktornya ialah sokongan dan dorongan daripada ibu bapa.
Mereka akan sentiasa memberi semangat kepada anak-anak mereka semasa bermain goalball.
Sokongan yang berterusan akan membawa kejayaan kepada seseorang pemain.
. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) juga mempengaruhi faktor penglibatan OKU
penglihatan dalam permainan goalball. NGO telah berusaha sedaya upaya untuk
memperkembangkan permainan goalball dengan cara mengadakan pertandingan peringkat
kebangsaan. Pelbagai hadiah yang menarik disediakan kepada pemenang goalball. Keadaan ini
secara tidak langsung menarik banyak penyertaan untuk bertanding dalam permainan ini.
Di samping itu, peranan daripada pihak sekolah juga mempengaruhi penglibitan OKU
untuk menceburkan diri dalam permainan goalball. Pihak sekolah telah menganjurkan pelbagai
aktiviti sukan sebagai aktiviti kokurikulum kepada pelajar di sekolah. Namun begitu, pelajar
OKU tidak terkecuali daripada menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah. Jadi, pihak
sekolah memperkenalkan permainan-permainan yang sesuai untuk pelajar OKU. Terdapat
beberapa permainan yang boleh dimainkan oleh mereka seperti catur, futsal, dam, dan
sebagainya. Salah satu permainan mencabar yang boleh dimainkan ialah goalball. Terdapat
jurulatih yang profesional yang boleh melatih mereka bermain dengan baik. Bagi pelajar yang
bermain dengan cemerlang, mereka berpotensi dipilih untuk mewakili negara.
Seterusnya, galakan daripada rakan sebaya juga mendorong golongan OKU penglihatan
untuk melibatkan diri dalam permainan ini. Tunjuk ajar yang diberikan oleh rakan-rakan akan
menaikkan prestasi permainan seseorang pemain. Hal ini demikian kerana terdapat rakan-rakan
yang pakar boleh mengajar mereka. Bagi mereka yang berpotensi akan dimasukkan ke dalam
kumpulan untuk bermain bersama. Lama kelamaan, pemain yang kurang mahir bermain goalball
akan cemerlang sekiranya mereka tidak berputus asa untuk berlatih bersama. Mereka turut akan
merasai untuk mewakili Negara bersama-sama dengan rakan yang lain.
Peranan media massa juga boleh menyebabkan semakin ramai golongan OKU
penglihatan terlibat dengan permainan goalball. Mereka perlu menayangkan cara-cara bermain
goalball dengan betul di kaca televisyen, internet, dan sebagainya bagi menarik minat orang
ramai untuk menontonnya. Pihak media tidak seharusnya hanya menyiarkan acara sukan atlet
biasa sahaja, malah mereka juga perlu menyiarkan sukan OKU. Jika sukan OKU seperti goalball
diminati, sudah pasti mereka lebih bersemangat untuk bermain bersungguh-sungguh. Dalam
masa yang sama juga, mereka juga mampu menaikkan nama negara.
Rahsia Kejayaan OKU Penglihatan Dalam Permainan Goalball
Setelah mengalami masalah penglihatan, golongan OKU penglihatan gigih berusaha
untuk mencari sesuatu yang baru yang boleh mengisi masa lapang mereka. Bagi golongan
normal, mereka bebas bergerak ke mana-mana sahaja untuk melakukan aktiviti yang digemari.
Mereka boleh bermain apa sahaja aktiviti, sama atau aktiviti dalaman ataupun aktiviti luar.
Sebagai contohnya, mereka boleh bermain sukan yang diminati seperti bola sepak, badminton,
bola keranjang, dan sebagainya. Senario ini tidak sama dengan golongan OKU penglihatan.
Mereka tidak bebas bergerak ke mana-mana. Mereka hanya mampu bergerak di tempat yang
mereka biasa sahaja. Sekiranya mereka mahu bergerak ke tempat yang baru untuk melakukan
sebarang aktiviti, mereka memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak. Selain itu, mereka
juga perlu memilih aktiviti ataupun sukan yang sesuai dengan keadaan mereka. Hal ini dapat
mengelakkan berlakunya sebarang kecederaan atau kejadian-kejadian yang tidak diingini
berlaku.
Antara sukan yang diperkenalkan kepada golongan OKU penglihatan ialah pingpong,
futsal, goalball, dan sebagainya. Setiap jenis sukan ini mempunyai cara permainannya yang
tersendiri. Golongan ini biasanya akan diberitahu dan diajar cara-cara untuk memainkan sesuatu
permainan sehinggalah mereka mahir. Oleh itu, mereka akan berkumpul bersama-sama untuk
bermain.
Goalball merupakan satu permainan untuk mengisi masa lapang pada awalnya.
Masyarakat OKU akan bermain bersama-sama jika mereka mempunyai masa yang terluang.
Mereka akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk melengkapkan kumpulan masing-masing
yang terdiri daripada 3 orang pemain. Pada peringkat awal, mereka hanya berlawan sesama
mereka untuk menunjukkan kehebatan masing-masing. Setelah permainan ini dimartabatkan dan
dikembangkan, ia mula dipertandingkan di peringkat daerah, negeri, dan kebangsaan.
Kebiasaannya, terdapat pemain-pemain dari pelbagai kumpulan yang mempunyai kebolehan
yang berbeza. Sebagai contohnya, ada dalam kalangan mereka mahir bermain di sebelah kiri, ada
yang mahir untuk menjaga garisan tengah, ada yang mempunyai kekuatan untuk bertahan, dan
lain-lain lagi. Kepelbagaian kebolehan akan digabungkan menjadi sebuah kumpulan yang
mantap untuk mewakili negara suatu masa nanti.
Responden yang ditemu bual oleh pengkaji merupakan wakil pemain Malaysia. Beliau
telah berjaya mengharumkan nama negara. Pelbagai kejayaan telah diciptanya dalam permainan
goalball. Salah satu pertandingan yang pernah disertai beliau ialah menyertai Paralympics.
Paralympics akan diadakan dua tahun sekali.
Belaiau telah bermain goalball sejak beliau berada di sekolah rendah lagi. Tunjuk ajar
daripada guru-guru di sekolah telah memahirkan beliau. Dalam masa yang sama, guru-gurunya
memberitahunya sekiranya ingin bertanding dengan orang lain, beliau mestilah berusaha
bersungguh-sungguh untuk mempamerkan aksi yang cemerlang. Oleh itu, beliau mempunyai
cita-cita untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi. Keadaan ini membawa kepada kejayaan
beliau. Sokongan daripada guru-guru juga tidak henti-henti apabila mereka mengetahui bahawa
responden ini berpotensi untuk melangkah ke arah yang lebih jauh.
Selain itu, beliau juga sentiasa menjalani latihan untuk meningkatkan prestasi permainan.
Kesungguhan beliau telah membawa kejayaan kepada beliau semasa beliau berada di Darjah
Empat. Beliau telah terpilih untuk mewakili negeri, iaitu Pulau Pinang. Beliau telah memasuki
pertandingan bawah umur 14 tahun anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia. Corak permainan
beliau telah menarik perhatian jurulatih-jurulatih kebangsaan yang menyaksikan pertandingan
ini. Jadi, salah seorang daripada jurulatih kebangsaan telah mengambil keputusan untuk melatih
beliau. Latihan intensif yang diberikan oleh jurulatih sehingga kini telah memantapkan corak
permainannya.
Setelah berpindah ke sekolah menengah di Kuala Lumpur, beliau merasakan beliau
mampu mengembangkan bakatnya dalam permainan goalball. Hal ini demikian kerana
infrastruktur yang disediakan di sekolah untuk permainan ini adalah sangat baik. Keadaan ini
memudahkan beliau untuk berlatih dengan lebih giat lagi. Di sekolah itu juga terdapat guru yang
sememangnya pakar dalam permainan ini. Beliau mendapat sokongan yang positif daripada guru
itu. Beliau dilatih oleh guru itu setiap petang di gelanggang sekolah. Semasa beliau berada di
Tingkatan Tiga, pihak sekolah bersetuju menghantar sekumpulan pemain goalball yang sangat
berbakat untuk bertanding. Beliau juga terpilih dalam kumpulan tersebut. Pertandingan yang
disertai oleh beliau dan kumpulannya ialah pertandingan goalball terbuka di Petaling Jaya.
Beliau dan kumpulannya dicabar berlawan dengan kumpulan-kumpulan kebangsaan yang jauh
lebih berpengalaman. Kesungguhan kumpulan beliau telah membawa kejayaan yang amat
membanggakan sekolah. Beliau telah mendapat naik johan dalam pertandingan tersebut.
Pada tahun 2009, beliau dan rakan-rakannya telah terpilih untuk menyertai kejohanan
Sukan Asia Remaja di Jepun. Sukan ini dipertandingkan di bawah umur 19 tahun. Beliau
terpaksa berehat selama dua bulan akibat daripada kecederaan yang dihadapinya. Selepas itu,
beliau dipanggil sekali lagi untuk menjalani latihan bersama dengan skuad kebangsaan sehingga
kini.
Pada tahun 2014 pula, beliau sekali lagi terpilih mewakili negara, iaitu ke sukan SEA
Myanmar. Beliau dan kumpulannya telah berjaya memperoleh pingat perak dalam sukan
tersebut. Hasil kejayaan beliau telah membawa sukan goalball dipantau sentiasa oleh pihak yang
berwajib. Mereka yakin atlet-atlet OKU penglihatan Malaysia mampu melakar kejayaan yang
besar jika digilap bakat mereka.
Seterusnya, rahsia kejayaan responden sebagai atlet juga adalah melalui latihan intensif
yang dijalankan. Melalui latihan tersebut, beliau dan rakan-rakannya akan menggunakan deria
pendengaran ketika hendak menangkap bola. Deria ini sangat penting apabila berlawan dengan
pihak lawan. Deria pendengaran yang baik akan menghasilkan daya tahan yang tinggi. Pihak
lawan tidak mampu membolosi gol. Selain itu, kepantasan membaling bola juga menyumbang
kepada kejayaan seseorang atlet dalam permainan goalball. Kelajuan balingan bola juga mampu
menjaringkan gol sekiranya pihak lawan sedikit leka. Hal ini demikian kerana pihak lawan tidak
sempat menahan bola yang terlalu laju. Kelebihan pemain dalam balingan ini juga amat
digalakkan digabungkan menjadi satu kumpulan yang mantap. Seterusnya, kepantasan menahan
bola juga penting dalam kejayaan seseorang atlet goalball. Jika seseorang atlet mempunyai
kemahiran menahan menggunakan badan dengan baik, pihak lawan menghadapi kesukaran
untuk menjaringkan gol. Jika kemahiran-kemahiran ini terdapat pada kumpulan Malaysia, maka
peluang untuk mengorak langkah ke arah yang lebih jauh lebih cerah.
Responden juga mengatakan bahawa rahsia kejayaannya adalah hasil daripada sokongan
yang berterusan daripada pelbagai pihak. Ibu bapalah yang paling penting untuk memberi
sokongan kepada beliau. Mereka sentiasa menggalakkan beliau bermain bersungguh-sungguh
untuk mencapai cita-citanya. Selain itu, sokongan daripada jurulatih juga membawa kejayaan
kepada beliau. Jurulatih sentiasa memberi sokongan fizikal dan mental agar pemain-pemainnya
kuat menghadapi segala cabaran. Sokongan yang berterusan akan menyebabkan mereka menjadi
lebih gigih untuk berusaha. Mereka akan giat menjalani latihan tanpa rasa gugup dan risau
apabila berhadapan dengan pihak lawan.
Bentuk galakan yang diberikan kepada OKU Penglihatan dalam permainan Goalball
Di Malaysia khususnya, OKU Penglihatan telah diberikan pelbagai bentuk galakan dalam
permainan Goalball. Bentuk-bentuk galakan yang diberikan tersebut dilihat daripada pelbagai
Aspek. Salah satu bentuk galakan yang diberikan kepada OKU Penglihatan dalam permainan
Goalball ialah galakan daripada sector kerajaan. Sektor kerajaan seperti Kementerian Belia dan
Sukan telah mengambil inisiatif dengan membawa masuk sukan Goalball ke dalam Program
Pembangunan Sukan di Malaysia. Ekoran daripada pelaksanaan tersebut, permainan Goalball di
Malaysia secara tidak langsung akan berada di bawah pantauan Menteri Belia dan Sukan, iaitu
Datuk Khairil Jamaluddin.
Selain Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia juga mengambil
peranan dalam menggalakkan OKU Penglihatan menceburi permainan Goalball. Kementerian
Pendidikan telah berusaha gigih mencari bakat-bakat baru dari sekolah-sekolah pendidikan khas
dalam permainan Goalball. Pencarian bakat-bakat ini telah dimulakan dari peringkat rendah dan
seterusnya diperkembangkan ke peringkat menengah. Salah sebuah sekolah pendidikan khas
yang dipantau oleh Kementerian Pendidikan ialah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak,
Kuala Lumpur.
Di samping itu, bentuk galakan yang diberikan dalam permainan Goalball turut dilihat
melalui peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia. Badan Bukan Kerajaan (NGO)
seperti Malaysian Association for the Blind (MAB) sering menganjurkan pertandingan Goalball
terbuka. Pertandingan tersebut sepenuhnya di bawah pengelolaan pihak mereka. Pertandingan
tersebut juga telah menjadi acara tahunan mereka. Selain MAB, Majlis Perbandaran Petaling
Jaya (MPPJ) juga menjadi penggalak kepada permainan Goalball di Malaysia. Hampir saban
tahun pihak MPPJ menganjurkan pertandingan Goalball bagi mencari pelapis-pelapis kepada
wakil Negara. Pertandingan yang dianjurkan mereka seringkali menjemput pasukan-pasukan
hebat dari luar Negara. Antara pasukan hebat yang turut dijemput bersaing dalam pertandingan
MPPJ ialah pasukan dari China, Iran, Jepun dan lain-lain lagi. Keadaan ini secara tidak langsung
akan meningkatkan semangat pemain-pemain Malaysia dalam sukan Goalball.
Seterusnya, bentuk galakan yang juga tidak ketinggalan dalam mempengaruhi OKU
Penglihatan menceburkan diri dalam permainan Goalball ialah pemberian intensif daripada pihak
kerajaan. Pemberian intensif telah menjadi pertaruhan kepada mana-mana OKU Penglihatan
yang menunjukkan prestasi permainan yang cemerlang. Pihak Kementerian Belia dan Sukan
telah menjanjikan elaun untuk setiap pemain Goalball Malaysia yang telah Berjaya disenaraikan
sebagai wakil Malaysia. Elaun yang diberikan kepada setiap pemain Goalball Malaysia ini
adalah setimpal dan memuaskan.
Selain pemberian elaun, pemain Goalball Malaysia juga menerima intensif dari segi
pingat. Nilai pingat yang dipertaruhkan dalam sukan Goalball turut setara dengan pingat-pingat
yang dipertaruhkan kepada atlet-atlet celik. Hal ini bermakna sukan Goalball di Malaysia juga
mampu berkembang selaras dengan sukan-sukan terkenal di Malaysia.
Dalam misi menggalakkan OKU Penglihatan menceburi permainan Goalball, pihak Kementerian
Pendidikan juga memberi penghargaan kepada atlet-atlet Goalball Malaysia. Salah satu bentuk
penghargaan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan ialah pemberian biasiswa sukan.
Fokus utama penghargaan ini adalah atlet-atlet Goalball muda atau dalam kata lain masih di
bangku sekolah. Tindakan sebegini secara langsung melahirkan pelajar yang seimbang dari segi
akademik dan juga kokurikulum.
Penutup
Kesimpulannya, permainan Goalball di Malaysia juga mampu menjadi salah satu cabang
sukan yang berkembang di Negara ini. Hal ini demikian kerana permainan Goalball telah
mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Dalam pada itu, pihak NGO juga tidak putus-putus
dalam memberi sokongan kepada sukan Goalball di Malaysia. Hal ini jelas membuktikan
bahawa komuniti Orang Kurang Upaya terutamanya OKU Penglihatan turut mampu berganding
bahu dengan atlet celik dalam usaha mengharumkan nama Negara, iaitu Malaysia.
Berdasarkan kajian, pengkaji telah Berjaya mengenal pasti factor-faktor yang telah
mendorong OKU Penglihatan terlibat dalam permainan Goalball di Malaysia. Selain itu,
pengkaji turut Berjaya mendapatkan maklumat tentang seorang OKU Penglihatan yang pernah
mewakili Malaysia dalam sukan Goalball. Di samping itu, pengkaji juga telah memperoleh
maklumat berkaitan dengan bentuk galakan yang diberi kepada OKU Penglihatan dalam sukan
Goalball di Malaysia. Harapan pengkaji dalam kajian mengenai permainan Goalball ini ialah
semua lapisan masyarakat seharusnya memberi sokongan yang padu kepada komuniti OKU
dalam apa jua situasi. Tidak boleh wujud sebarang diskriminasi terhadap golongan minoriti ini.
Hal ini demikian kerana golongan OKU juga manusia seperti insan lain.
Rujukan
1. Muhamad Zaki Norizan, pemain Goalball Malaysia.
2. http://www.ibsasport.org/
3. http://ms.swewe.net/word_show.htm/?1288057_1&Bola_Sepak_Buta
4. http://www.grosircatur.com/blog/peraturan-main-catur-dengan-pecatur-buta-tuna-netra/
5. http://www.wikipedia/goalballinmalaysia
list end
Lampiran
Gambar 1 : Bola Goalball
Gambar 2: Gelanggang Goalball
Soalan temu bual
1. Bolehkah saudara ceritakan serba sedikit tentang permainan Goalball di Malaysia?
list end
2. Apakah factor penglibatan OKU Penglihatan dalam permainan Goalball di
Malaysia?
3. Apakah rahsia kejayaan saudara dalam mewakili Goalball Malaysia?
4. Bolehkah saudara berikan bentuk-bentuk galakan yang diberikan kepada OKU
Penglihatan dalam permainan Goalball di Malaysia?
5. Dalam proses mewakili Malaysia, apakah bentuk latihan yang saudara lakukan?
Panduan Buat Duit Blog

Tiada ulasan: