Terjemah kepada bahasa lain

Ahad, 29 Januari 2017

GLOBALISASI

Secara umumnya, globalisasi merupakan salah satu unsur yang berkait rapat dengan kehidupan bermasyarakat. Unsur globalisasi telah ditakrif bertunjangkan kepada pelbagai pendapat. Salah satu pendapat telah menyatakan bahawa perkataan globalisasi merujuk kepada satu proses yang membolehkan sesuatu aktiviti disebar atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia (Kamus Dewan Edisi Ke-4, 2005). Dari segi dasarnya pula, Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005) menyatakan bahawa globalisasi telah didasari dengan perkataan global yang bermaksud meliputi, mempengaruhi atau mengenai seluruh dunia (sejagat). Dalam erti kata lain, globalisasi bersifat universal.
Dalam bercakap tentang unsur globalisasi, bentuk globalisasi telah dikategorikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah globalisasi ekonomi, globalisasi budaya, globalisasi politik dan lain-lain lagi. Namun begitu, perbincangan kali ini hanya memberi tumpuan kepada globalisasi budaya. Globalisasi budaya ialah salah satu bentuk globalisasi yang secara terus memberi kesan kepada aspek budaya dalam sesebuah masyarakat. Umumnya, budaya merupakan satu elemen yang dimiliki oleh setiap masyarakat. Setiap masyarakat mempunyai bentuk budaya yang tersendiri dan bersifat unik. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2005), budaya telah didefinisikan sebagai tamadun atau peradaban yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Wujudnya unsur globalisasi dalam bidang kebudayaan sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada budaya masyarakat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu. Kesan daripada globalisasi budaya ini boleh dilihat dari dua sudut, iaitu positif dan negatif. Jika dari sudut positif, ia sedikit sebanyak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Negara. Tidak mustahil dengan kehadiran global budaya ini mampu mengubah sesebuah negara menjadi lebih maju. Selain itu, negara ini juga boleh menerima global budaya masyarakat yang lain dan seterusnya boleh digabungkan dengan budaya tempatan agar dapat dikomersialkan di luar negara. Secara tidak langsung Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kebudayaan dalam dan luar serta industri budaya dapat berkembang pesat. Apa yang paling penting budaya yang dibawa masuk mestilah sesuai dengan kita dan tidak bertentangan dengan agama. Jika berlaku sebaliknya pula, pengaruh media social dan anasir-anasir luar akan menjejaskan negara. Rakyat akan semakin tidak berminat untuk memberi sumbangan untuk memajukan Negara. Mereka lebih selesa dengan pengaruh budaya negatif yang boleh dikatakan memberi keselesaan dalam kehidupan mereka. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, kesan budaya negatif ini sememangnya memberi impak yang besar kepada diri dan seterusnya mencemarkan agama rasmi tersebut. Sebagaimana yang kita tahu, globalisasi budaya ini berlaku menerusi pelbagai saluran. Salah satunya ialah media sosial. Pelbagai faktor telah dikenal pasti menjadi penyebab kepada wujudnya globalisasi budaya di Malaysia. Faktor yang dikenal pasti termasuklah kedatangan orang asing dari luar, proses import eksport antara Malaysia dengan negara lain dan sebagainya.

Tiada ulasan: