Terjemah kepada bahasa lain

Selasa, 24 Januari 2017

PENGALAMAN BERORGANISASI DI IPT

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada kalian yang sudi membaca perkongsian ini. Perkongsian yang akan dilakukan pada kali ini berkisar tentang pengalaman berorganisasi di IPT. Pengalaman ini bermula sejak saya berada di tahun 1 lagi. Ketika saya berada di tahun 1, iaitu tahun 2014, saya telah pun diberi kepercayaan untuk mengendali satu program. Program tersebut merupakan satu program yang sememangnya melibatkan ramai orang. Ini bukan sahaja melibatkan ahli persatuan, malah turut melibatkan rakan-rakan sukarelawan dan juga alumni persatuan. Program ini boleh dikategorikan sebagai program makan persatuan yang juga menjadi acara tetap setiap sesi akademik. Dari aspek pengendalian, saya sememangnya bermula dari 0 tetapi lama-kelamaan saya mulai dapat membiasakan diri. Ilmu yang telah dikongsikan oleh senior-senior saya ketika itu sememangnya membantu saya untuk menghadapi tanggungjawab sebagai pengarah program. Apabila bercakap tentang pengarah program, sudah pasti semua sudut di dalam program tersebut perlu diteliti dan diurus secara sistematik. Misalnya, pengarah program perlu memastikan setiap AJK menjalankan tugasan yang diberikan. Selain itu, pengarah program juga perlu menetapkan perkara-perkara dasar di dalam program tersebut. Namun, apa yang paling penting sebagai seorang pengarah program seharusnya bijak dalam mengawal emosi. Ini adalah kerana kegagalan mengawal emosi mampu memberi kesan negatif terhadap orang sekeliling. Kesan negatif yang dimaksudkan adalah dari segi hubungan sosial. Kesan negatif yang menjejaskan hubungan sosial ini boleh dilihat melalui orang sekeliling yang tidak selesa untuk bergaul dengan individu yang gagal mengawal emosi. Keadaan ini turut sama jika dilihat dalam konteks penganjuran program. Sebagai contoh, pengarah yang panas baran akan menyebabkan AJK di bawahnya tidak suka dan tidak selesa untuk bekerja dengannya. Jadi, jelaslah bahawa pengalaman berorganisasi ini bukannya mudah dihadapi. Namun, pengalaman berorganisasi di IPT ini mampu membantu seseorang untuk melangkah ke alam kerjaya. Oleh itu, sampai di sini sahaja perkongsian saya mengenai pengalaman berorganisasi di IPT. Semoga kalian yang membaca perkongsian ini mampu memperoleh sesuatu yang positif daripada perkongsian saya ini. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: